Friday, April 29, 2011

Surat kepada encik DOMOKUN

Assalammualaikum, salam sejahtera dan salam Satu Malaysia. Kehadapan En Domo yang sangat terkenal dikalangan remaja akhir zaman ini.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada encik kerana telah berjaya menjadi terkenal dalam masa yang sangat singkat.

Kedua, saya ingin membuat aduan tentang harga sebuah patung replika encik. Saya berpendapat bahawa RM 15.00 untuk satu dompet yang sederhana kecil, tanpa tali, tiada tangan dan kaki terlampau mahal. Tidakkah encik merasa begitu? Saya, sebagai seorang pelajar sekolah + asrama yang berumur 1_ tidaklah mempunyai duit yang begitu banyak. Oleh itu, bagaimanakah cara untuk saya mengeluarkan duit untuk membeli replika patung encik? Diatas sebab tersebut, saya telah memaksa rakan-rakan karib saya untuk membeli replika patung encik yang berharga RM40.00 di Parkson untuk hadiah harijadi saya. Pada mulanya, saya telah memaksa mereka untuk membeli patung replika encik yang berukuran __cm x __ cm (saiz XL) berharga RM 75.00 tetapi mereka tidak bersetuju, lantas berjaya memujuk saya untuk membeli patung replika encik yang berukuran __cm x __cm (saiz M). Walaupun saya tidak berpuas hati, namun saya redha kerana untuk membeli patung replika encik dengan duit saya sendiri, sangatlah impossible.

Ketiga, saya ingin bertanya, dari manakah encik Domo-kun ini berasal? Setahu saya, KUN di belakang nama encik ini bermaksud KACAK. Adakah encik seorang yang kacak? Rakan-rakan sekelas saya mengatakan bahawa encik ini sebenarnya berasal dari Malaysia dan dilahirkan di studio NTV7. Tetapi apabila saya membuka wikipedia, saya dapati bahawa encik ini sebenarnya berasal dari Jepun. Apa khabar encik? Adakah encik terselamat dari tsunami yang telah melanda negara tanah tumpahnya darah encik beberapa bulan lalu? Saya mendoakan dari jauh.

Saya rasa sampai disini sahaja warkah saya buat kali ini. Kirim salam kepada para peminat encik. Saya mengundur diri dengan lafaz bismillah. Assalammualaikum w.b.t


Yang setia mencarut,
OMEGABETASIGMA.

No comments:

Post a Comment